SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan MFLCC SF2 | Selangor FC 1-0 Penang FC (Agg. 2-0) | Kita Mara Ke Peringkat Akhir

Feb 03, 2025 - FAS

Selangor FC layak ke Perlawanan Akhir MFL Challenge Cup 2024/25 dengan agregat 2-0 selepas Penang FC tewas 1-0 bagi perlawanan Separuh Akhir kedua semalam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, di mana Kalamullah Al-Hafiz kerap diuji oleh pihak lawan dengan serangan mereka.  Namun, Alvin Fortes berjaya menjaringkan gol tunggal dengan rembatan dari sebelah kiri padang selepas menerima lorongan daripada Nooa Laine pada minit ke-65, sekaligus melayakkan pasukan ke perlawanan Akhir MFL Challenge Cup 2024/25 dengan agregat 2-0.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, beliau bangga dengan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukan oleh para pemain.

“Dalam pusingan pertama, pasukan mendahului dengan keputusan 1-0, jadi saya memberitahu pemain bahawa kita wajib menang perlawanan ini. Mereka (Penang FC) memberi ancaman yang cukup bahaya tetapi para pemain berjaya menidakkannya serta menjaringkan gol. Sudah tentu mereka mempunyai beberapa peluang tetapi Kalamullah berjaya melindungi tiang gol dengan cemerlang. Saya juga yakin kemenangan ini adalah hasil kerja keras mereka serta semangat tidak putus asa yang ditunjukkan amat memberansangkan. Namun, kita mesti sentiasa belajar daripada setiap perlawanan untuk menjadi lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” kata Kinoshi.

Daripada perlawanan #SFCPEN dalam Separuh Akhir kedua MFL Challenge Cup 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Aksi cemerlang Kalamullah Al-Hafiz

Antara pemain yang wajar mendapat pujian dalam perlawanan #SFCPEN adalah penjaga gawang baharu Gergasi Merah, Kalamullah Al-Hafiz. Banyak percubaan-percubaan bahaya yang beliau berjaya halangkan dengan ketangkasan dan refleksi yang dimilikinya. Menurut Katsuhito Kinoshi, Kalamullah capai sasaran yang diletakkan, “Prestasi yang ditunjukkan oleh Kalamullah cukup bagus, kami ada tiga lagi penjaga gol dan mereka semua juga bagus tetapi setakat ini Kalamullah telah menunjukkan prestasi yang konsisten, memberi sambutan yang baik kepada jangkaan kami (barisan jurulatih) dan mendapat kepercayaan rakan sepasukan, disebabkan itu beliau tersenarai sebagai penjaga gol utama pasukan.”

Kalamullah mula beraksi pada 19 Oktober 2024 menentang PDRM FC dalam saingan Liga Super 2024/25. Setakat ini, beliau telah mencatat enam ‘clean sheet’ daripada sembilan perlawanan. 

Pujian harus diberikan kepada ke semua pemain yang telah beraksi dalam perlawanan #SFCPEN semalam. Setiap pemain memainkan peranan yang penting dalam membantu pasukan layak ke Perlawanan Akhir MFL Challenge Cup 2024/25.

Perlawanan Akhir akan dijalankan secara timbal balik. Selangor FC akan bertemu PDRM FC dalam pusingan pertama pada 15 Februari di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.. Manakala dalam pusingan kedua, pasukan akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Februari.

Seterusnya, minggu ini, skuad Gergasi Merah akan bertemu Sri Pahang FC pada 8 Februari jam 8:15 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Dapatkan tiket di sini.

Pihak pengurusan Selangor FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 3,310 penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ semalam. Sokongan anda amat kami hargai.

Demi Kebanggaan!